Nilai Murni & Pengajaran

Latihan 1
Tulis empat nilai murni yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah.

Pasukan koir sekolah Suzan diumumkan sebagai johan. Suzan dan kawan­-kawannya terlonjak-Ionjak kegembiraan. Sebagai ketua pasukan, Suzan dipersilakan naik ke pentas. Dia mewakili pasukannya untuk menerima piala pusingan.
Malang tidak berbau. Tanpa disangka-sangka, suasana gembira bertukar menjadi duka. (1)  Suzan yang leka kerana terlalu gembira tergelincir semasa menuruni pentas. Dia tersungkur ke lantai bersama-sama dengan pialanya.
"Aduh, sakitnya!" Suzan merintih menahan kesakitan. Murid-murid dan guru-guru yang ada di situ terkejut dan cemas. Masing-masing pandang­-memandang.
Mujurlah, dalam keadaan cemas begitu, (2)  Vincent dan Andrew tidak hilang akal. Mereka yang merupakan anggota Pasukan Bulan Sabit Merah cepat-cepat menghulurkan bantuan.
(3) Vincent dan Andrew segera memberikan pertolongan cemas kepada Suzan. Menurut mereka, tangan Suzan terseliuh. Mereka pun menganduh tangan Suzan yang cedera itu. Kemudian, (4) mereka bersama-­sama dengan Cikgu Lim membawa Suzan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

NILAI-NILAI MURNI:
 1)      Kita mestilah berhati-hati ketika melakukan sesuatu perkara untuk mengelakkan kejadian 
         yang tidak diingini.
2)        Kita harus bertindak cepat untuk memberi bantuan kepada kawan kita yang ditimpa 
         kemalangan.
 3)      Kita hendaklah sedaya upaya memberi bantuan kepada kawan untuk meringankan 
         kesakitan yang dialami.
 4)      Kita haruslah rasa prihatin terhadap kawan-kawan.


Latihan 2
Tulis empat nilai murni yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah.

 Budi Baik Dikenang Jua

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Di balik Pulau Angsa Dua;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang jua.

Ada padi ada beras,
Bertanak nasi periuk suasa;
Ada budi ada balas,
Orang berbudi kita berbahasa.

Buah rambai di dalam peti,
Masam manis pula rasanya;
Pandai sungguh mengambil hati,
Serta dengan budi bahasanya.

Kuning emas masaknya padi,
Mawar merah dalam jambangan;
Terima kasih daun keladi,
Budi tuan jadi kenangan.

Hendak memetik daun palas,
Buat isi buah berangan;
Berbudi bukan untuk dibalas,
Hanya untuk kenang-kenangan.

NILAI-NILAI MURNI:

 1)      Kita haruslah bersikap baik hati kepada semua orang.
 2)      Kita mestilah berterima kasih kepada orang yang telah berbudi kepada kita.
 3)      Kita hendaklah menjadi manusia yang berhemah tinggi.
 4)      Kita haruslah mencurahkan kasih sayang sesama manusia.


Latihan 3
Tulis beberapa nilai/pengajaran yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah.

(1) Hassan merupakan Bendahari Kelab Kebudayaan dan Kesenian sekolahnya. Dia menjalankan tugasnya dengan baik. Hassan tinggal bersama-sama dengan ibunya yang sakit. (2) Dia menjaga ibunya dengan baik. Hassan tidak mempunyai wang untuk membayar kos rawatan ibunya. Dia teringat akan wang tabung Kelab Kebudayaan dan Kesenian yang berjumlah RM1000.00 Dalam hatinya dia berkata bahawa dia boleh menggunakan wang itu dahulu.

Namun, (3 & 4) dia tidak sanggup mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh guru dan kawan-kawannya. Akhirnya, dia telah berjumpa dengan guru besar dan meminta bantuan beliau. (5) Pihak sekolah telah mengumpulkan wang untuk membiayai rawatan ibu Hassan.

NILAI / PENGAJARAN:
1)         Sebagai seorang murid, kita mestilah bersikap amanah terhadap tugas yang 
          diberikan kepada kita.
2)         Sebagai anak, kita mestilah mencurahkan kasih sayang kepada ibu bapa kita. Kita 
          mesti menjaga mereka ketika mereka sakit.
3)         Kita hendaklah bersikap jujur seperti Hassan yang tidak menggunakan wang tabung  
          kelabnya walaupun dia tidak mempunyai wang.
4)         Kita haruslah berfikiran rasional ketika menghadapi masalah.
5)         Kita patut prihatin dan membantu orang yang di dalam kesusahan.


Latihan 4
Tulis beberapa nilai/pengajaran yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah.
Jam menunjukkan pukul 3.00 petang. (1) Amira segera bersiap untuk ke hospital. Dia tidak mahu terlewat. (2) Dia mahu menziarahi ibunya yang sedang sakit. Sudah seminggu ibu Amira dimasukkan ke hospital kerana mengalami tekanan darah rendah. (3) Amira tidak mahu ibunya ternanti-nanti akan kedatangannya.

Tidak berapa lama menunggu, akhirnya bas pun tiba. (4) Amira berbaris untuk menaiki bas. (5) Dia membiarkan kanak-kanak dan orang tua menaiki bas itu dahulu. Amira sampai pada pukul 3.45 petang. Masih ada 15 minit lagi sebelum waktu melawat. Amira duduk di sebuah kerusi yang disediakan di kawasan taman hospital berkenaan. (6) Dia mengeluarkan nota kecil dari dalam beg yang dibawanya. Amira membaca catatan yang dibuatnya.

Tepat jam 4.00 petang, pelawat-­pelawat dibenarkan masuk. (7) Amira segera mendapatkan ibunya. Dia gembira melihat ibunya semakin sembuh.

NILAI / PENGAJARAN:
1)      Kita haruslah mementingkan masa dan jangan terlewat untuk sesuatu kegiatan.
2)      Kita mesti sedar akan tanggungjawab anak kepada ibu dengan menziarahi ibu yang 
        sedang sakit.
3)      Kita hendaklah mementingkan ibu dan jangan biarkan ibu ternanti-nanti akan 
        kedatangan kita.
4)      Kita harus berdisiplin ketika menaiki bas.
5)      Ketika menaiki bas, kita haruslah  bertolak ansur dengan membiarkan kanak-kanak 
        dan orang tua menaiki bas dahulu.
6)      Kita hendaklah mementingkan masa dengan membaca nota kecil sementara menunggu 
        masa melawat.
7)      Kita haruslah menyayangi ibu dan menunjukkan kegembiraan apabila ibu semakin sembuh.








No comments:

Post a Comment